5 Kebaikan Vitamin D yang Anda Perlu Tahu

SehatFisik August 22, 2023

Ramai orang yang tidak mendapatkan vitamin D yang secukupnya. Ini adalah situasi yang berlaku pada masa kini. Mungkin ramai yang tidak mengetahui fungsi dan kebaikan vitamin D terhadap kesihatan tubuh badan.

Oleh itu artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai fungsi dan kebaikan vitamin D terhadap kesihatan badan manusia.

Vitamin D ialah vitamin larut lemak dalam keluarga sebatian yang merangkumi vitamin D1, D2, dan D3.

Badan manusia menghasilkan vitamin D secara semula jadi apabila ia terdedah secara langsung kepada cahaya matahari. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan vitamin D daripada makanan dan suplemen tertentu.

kebaikan vitamin 2 - ikan salmon
Ikan salmon mengandungi vitamin D

Vitamin D boleh membantu badan anda untuk menyerap mineral kalsium. Ia penting untuk membina tulang yang kuat.

Di samping itu, otot-otot badan anda juga memerlukan vitamin D untuk bergerak. Manakala, saraf badan anda pula memerlukan vitamin D untuk membawa mesej antara otak dan badan anda.

Seperti vitamin C, vitamin D juga turut membantu menguatkan sistem imun badan untuk melawan jangkitan bakteria dan virus.

Anda boleh mendapatkan vitamin D melalui dua cara iaitu melalui cahaya matahari dan makanan.

Badan anda menghasilkan vitamin D apabila kulit anda terdedah secara terus kepada cahaya matahari.

Walau bagaimanapun, faktor seperti awan, asap, usia tua dan kulit berwarna gelap mengurangkan jumlah vitamin D yang kulit anda hasilkan.

Tambahan itu juga, kulit anda tidak menghasilkan vitamin D daripada cahaya matahari yang melalui cermin tingkap.

Sangat sedikit makanan yang secara semula jadi mengandungi vitamin D. Salah satu cara lain untuk mendapatkan vitamin D yang mencukupi adalah melalui produk makanan yang diperkaya dengan vitamin D atau makanan tambahan (suplemen).

Orang dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan vitamin D sebanyak 15 mikrogram sehari.

Antara makanan-makanan yang mengandungi vitamin D adalah:

  • Ikan salmon
  • Ikan mackerel
  • Ikan sardin
  • Telur
  • Hati lembu
  • Susu lembu yang diperkaya dengan vitamin D
  • Yogurt yang diperkaya dengan vitamin D
  • Keju Cheddar
  • Cendawan tiram

Mendapatkan vitamin D yang mencukupi boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada badan. Antara kebaikan vitamin D kepada kesihatan badan adalah:

1. Boleh Mencegah Osteoporosis

Osteoporosis ialah penyakit yang dicirikan oleh peningkatan liang tulang yang mengakibatkan tulang menjadi rapuh. Penyakit ini biasanya dikaitkan dengan kehilangan kalsium.

Kajian menunjukkan bahawa orang yang mendapatkan vitamin D dan kalsium yang mencukupi dalam pemakanan mereka boleh memperlahankan kehilangan mineral tulang, mencegah osteoporosis dan mengurangkan keretakan tulang. [1]

2. Mengurangkan Risiko Sklerosis Berbilang

Sklerosis berbilang adalah sejenis penyakit kronik yang melibatkan otak dan saraf tunjang (sistem saraf pusat).

Terdapat kajian semula yang mendapati paras vitamin D yang rendah di dalam badan mempunyai perkaitan dengan peningkatan risiko penyakit sklerosis berbilang. [2]

3. Membantu Mengawal Mood dan Mengurangkan Kemurungan

Vitamin D juga dilaporkan memainkan peranan penting dalam mengawal mood dan mengurangkan kemurungan.

Satu analisis pada 2020 mendapati bahawa mereka yang mengalami emosi negatif yang menerima suplemen vitamin D mendapati penambahbaikan dalam gejala. Suplemen vitamin D turut membantu orang yang mengalami kemurungan yang juga mengalami kekurangan vitamin D. [3]

Paras vitamin D yang rendah juga didapati menjadi faktor risiko kepada gejala-gejala lebih teruk, keresahan dan kemurungan dalam kalangan pesakit fibromyalgia. [4]

4. Mungkin Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan

Pengambilan vitamin D yang mencukupi berkemungkinan boleh membantu menyokong penurunan berat badan.

Orang yang mempunyai berat badan yang lebih tinggi mempunyai peluang yang lebih besar untuk mempunyai paras vitamin D yang rendah.

Kebaikan vitamin D ini dapat dilihat dalam satu kajian di mana orang yang mengalami obesiti yang menerima suplemen vitamin D selain mengikuti pelan diet penurunan berat badan kehilangan lebih banyak berat badan dan jisim lemak berbanding mereka yang menerima plasebo. [5]

5. Boleh Merawat Penyakit Psoriasis

Psoriasis adalah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan ruam dengan gatal-gatal dan tompok bersisik pada lutut, siku, badan dan kulit kepala.

Vitamin D yang digunakan secara sapuan boleh membantu merawat penyakit psoriasis ini. Terdapat banyak kajian yang menunjukkan vitamin D berkesan sekiranya digunakan untuk merawat psoriasis. [6]

Risiko dan Kesan Sampingan

Pengambilan vitamin D melalui makanan semula jadi dan pendedahan cahaya matahari umumnya adalah selamat dan tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan.

Tetapi, pengambilan vitamin D dalam bentuk suplemen secara berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan seperti:

  • Loya
  • Muntah
  • Lemah otot
  • Kekeliruan
  • Sakit
  • Hilang selera makan
  • Dehidrasi
  • Kencing berlebihan
  • Dahaga
  • Batu karang

Ketoksikan vitamin D boleh menyebabkan peningkatan kalsium di dalam darah. Ini boleh menyebabkan pengkalsiuman tulang dan pengerasan saluran darah, buah pinggang, paru-paru dan tisu jantung.

Ketokisan vitamin D juga boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, denyutan jantung tidak teratur dan kematian.

Rumusan

Vitamin D mempunyai banyak kebaikan dan peranan. Ia boleh mengurangkan risiko penyakit tertentu, membantu meningkatkan mood, mengurangkan gejala kemurungan dan membantu pengurusan berat badan.

Mendapatkan vitamin D melalui cahaya matahari dan pemakanan sahaja mungkin agak sukar. Anda mungkin boleh mempertimbangkan pengambilan suplemen vitamin D sekiranya anda mengalami kekurangan vitamin ini.

Leave a Comment

Artikel Terkait