9 Buah Berkalori Tinggi untuk Menambah Berat Badan

SehatFisik August 29, 2023

Secara prinsipnya, jika anda ingin menambah berat badan, anda perlu mengambil kalori yang lebih daripada apa yang badan anda bakar. Salah satu cara sihat menambah berat badan adalah dengan memakan buah berkalori tinggi.

Kumpulan buah-buahan ini boleh membekalkan kalori yang lebih dan apa yang lebih penting adalah ia membekalkan vitamin dan mineral yang penting untuk kesihatan.

Selain kalori, kandungan karbohidrat dan lemak dalam buah-buahan ini juga turut memainkan peranan penting dalam membantu anda menambah berat badan anda.

Berikut adalah 9 buah berkalori tinggi yang boleh membantu menambah berat badan anda:

buah meningkatkan berat badan

1. Buah Pisang

Buah pisang adalah pilihan yang baik untuk anda menambah atau meningkatkan berat badan.

Buah pisang terkenal sebagai buah yang membekalkan tenaga. Selain kaya dengan pelbagai nutrien, buah pisang juga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan karbohidrat dan kalori.

Sebiji buah pisang bersaiz sederhana seberat 118 gram mengandungi:

  • Kalori: 105 kcal
  • Karbohidrat: 26.9 gram
  • Lemak: 0.39 gram

Selain dimakan segar, buah pisang juga boleh dicampurkan dengan makanan lain seperti oat atau dicampur dalam smoothies.

Biasanya juga anda dengan mudah boleh memakan lebih sebiji buah pisang.

2. Buah Mangga

Buah mangga juga boleh dipilih sekiranya anda ingin menambahkan berat badan.

Selain sedap dan manis, buah mangga juga kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang menjadikannya buah yang berkhasiat.

Sebiji buah mangga tanpa biji seberat 336 gram mengandungi:

  • Kalori: 202 kcal
  • Karbohidrat: 50.4 gram
  • Lemak: 1.28 gram

Seperti buah pisang, buah mangga juga sesuai dan boleh digabungkan dengan makanan-makanan lain seperti oat, dijadikan smoothies atau salad buah.

3. Isi Kelapa

Buah kelapa juga antara buah yang mempunyai banyak khasiat dan kegunaan.

Selain air kelapa yang boleh membantu anda menambah tenaga, isi buah kelapa terutamanya kelapa muda juga tinggi dengan kalori dan khasiat.

Secawan isi kelapa seberat 80 gram mengandungi:

  • Kalori: 283 kcal
  • Karbohidrat: 12.2 gram
  • Lemak: 26.8 gram

Isi kelapa juga enak dimakan bersama-sama airnya atau dijadikan jeli kelapa yang boleh menambah jumlah kalori yang anda ambil.

4. Buah Kurma

Buah kurma adalah buah kecil yang penuh dengan khasiat.

Buah kurma lazimnya dijual kering (tamar) atau basah (rutob). Buah kurma adalah makanan sunnah semasa berbuka puasa.

Ia mungkin disebabkan sifatnya yang tinggi dengan kalori dan gula sebagai pembekal tenaga pantas.

Sebiji kurma Medjool tanpa biji seberat 24 gram mengandungi:

  • Kalori: 66.5 kcal
  • Karbohidrat: 18 gram
  • Lemak: 0.04 gram

Semakin dimakan segar, buah kurma juga boleh digabungkan dalam pembuatan kek atau roti.

5. Aprikot Kering

Buah aprikot kering juga boleh dijadikan snek yang boleh membantu anda menambahkan berat badan.

Bagi satu hidangan aprikot kering seberat 50 gram mengandungi:

  • Kalori: 120 kcal
  • Karbohidrat: 31.3 gram
  • Lemak: 0.26 gram

Buah aprikot kering ini juga turut mengandungi vitamin A seperti beta-karotena, lutein dan zeaxantin yang baik untuk kesihatan mata.

Tambahan itu juga, anda boleh mengabungkan aprikot kering ini dengan kekacang dan sesuai dijadikan snek untuk membantu anda menambah berat badan.

6. Kismis

Kismis adalah buah anggur yang dikeringkan. Ia juga sesuai dijadikan makanan untuk membantu anda menambah berat badan.

Bagi secawan kismis emas (golden raisin) seberat 145 gram, terdapat:

  • Kalori: 436 kcal
  • Karbohidrat: 116 gram
  • Lemak: 0.29 gram

Kismis juga sesuai untuk digabungkan dengan makanan lain seperti oatmil, kekacang atau yogurt.

7. Buah Prun

Buah prun adalah buah plum yang telah dikeringkan.

Buah ini kaya dengan pelbagai nutrien selain tinggi dengan kalori dan karbohidrat.

Bagi secawan buah prun tanpa biji seberat 174 gram, terdapat:

  • Kalori: 418 kcal
  • Karbohidrat: 111 gram
  • Lemak: 0.66 gram

Prun juga terkenal dengan kebolehannya untuk mencegah dan mengurangkan sembelit.

Prun mempunyai jangka hayat yang panjang dan mudah untuk ditambahkan pada diet anda, menjadikannya cara mudah untuk meningkatkan pengambilan kalori anda dan membantu penambahan berat badan yang sihat.

8. Buah Tin Kering

Buah tin atau buah ara kering juga adalah buah yang tinggi dengan kalori.

Seperti buah-buah kering yang lain, buah tin kering juga boleh dijadikan snek yang boleh meningkatkan pengambilan kalori harian anda.

Bagi secawan buah tin kering seberat 149 gram, terdapat:

  • Kalori: 371 kcal
  • Karbohidrat: 95.2 gram
  • Lemak: 1.4 gram

9. Buah Durian

Buah durian juga tergolong dalam kumpulan buah yang tinggi kalori.

Rasanya yang enak mungkin memudahkan untuk anda makan pada kuantiti yang banyak.

Bagi 100 gram buah durian, terdapat:

  • Kalori: 147 kcal
  • Karbohidrat: 27.1 gram
  • Lemak: 5.3 gram

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa makan durian yang banyak boleh menyebabkan badan anda berasa ‘panas’.

Rumusan

Terdapat banyak pilihan buah-buahan yang tinggi kalori dan padat dengan nutrien yang boleh membantu anda menambah berat badan dan mengekalkan kesihatan badan.

Menggabungkan beberapa buah-buahan di atas ke dalam makanan atau snek anda boleh membantu meningkatkan pengambilan kalori harian anda dan membantu penambahan berat badan yang sihat.

Rujukan Nutrien
  • U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.

Leave a Comment

Artikel Terkait