Kebaikan Kalsium Untuk Kesihatan (Ini yang Anda Perlu Tahu)

SehatFisik September 7, 2023

Ramai yang sedia maklum bahawa kalsium baik untuk tulang yang kuat dan sihat. Tetapi, mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa terdapat kebaikan lain yang disumbang oleh kalsium untuk kesihatan badan manusia.

Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kebaikan dan fungsi kalsium untuk kesihatan badan serta beberapa peringatan yang harus diketahui dalam penggunaannya.

Kalsium adalah mineral yang diperlukan oleh badan untuk membina dan mengekalkan tulang yang kuat serta menjalankan beberapa fungsi penting yang lain.

Kalsium adalah mineral yang paling banyak terdapat di dalam badan manusia. Hampir kesemua kalsium dalam badan manusia di simpan di dalam tulang dan gigi.

kebaikan kalsium boleh diperolehi daripada susu

Selain memberikan struktur dan kekuatan kepada tulang dan gigi, kalsium juga berperanan untuk membolehkan otot untuk bergerak dan saraf untuk membawa mesej ke otak dan bahagian badan yang lain.

Kalsium juga membantu saluran darah membawa darah ke seluruh badan dan membantu melepaskan hormon yang memberi kesan terhadap fungsi badan.

Orang dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan 1,000 hingga 1,200 miligram (mg) kalsium sehari. Manakala, kanak-kanak pula disarankan untuk mendapatkan 700 hingga 1,300 mg kalsium sehari.

Kalsium boleh diperolehi daripada makanan harian atau melalui suplemen (makanan tambahan). Terdapat banyak makanan yang tinggi dengan kalsium. Antaranya adalah:

  • Susu
  • Yogurt
  • Keju
  • Ikan bilis
  • Ikan sardin
  • Sayur brokoli
  • Sayur kailan
  • Sayur bayam
  • Sayur sawi
  • Kacang badam
  • Kacang dhal

Bagi meningkatkan penyerapan kalsium daripada makanan atau suplemen yang anda makan, anda memerlukan vitamin D. Vitamin D membantu meningkatkan penyerapan kalsium di dalam badan.

Selain fungsi-fungsi atau kebaikan yang dinyatakan di atas, kalsium juga turut mempunyai kebaikan lain seperti berikut:

1. Baik untuk Kesihatan Tulang

Kalsium adalah mineral yang sangat penting untuk kesihatan tulang. Ia adalah mineral yang perlu untuk perkembangan, pertumbuhan dan penyelenggaraan tulang.

Apabila kanak-kanak membesar, kalsium menyumbang kepada perkembangan tulang mereka.

Selepas seseorang berhenti membesar, kalsium terus membantu mengekalkan tulang dan melambatkan kehilangan ketumpatan tulang, yang merupakan sebahagian daripada proses penuaan.

Pengambilan kalsium yang mencukupi penting kepada golongan wanita terutamanya bagi mereka yang telah menopaus. Kalsium boleh mengurangkan risiko berlakunya osteoporosis.

2. Mengurangkan Risiko Preeklampsia

Preeklampsia ialah komplikasi serius yang boleh berlaku semasa kehamilan peringkat akhir.

Ia mengakibatkan gejala-gejala seperti tekanan darah tinggi, paras protein yang tinggi dalam air kencing dan edema (sembab).

Bagi sesetengah wanita yang mengambil kalsium terlalu sedikit, suplemen kalsium boleh membantu mengurangkan risiko terjadinya preeklampsia.

Terdapat analisis yang melaporkan bahawa pengambilan kalsium sebanyak sekurang-kurangnya 1,000 mg sehari daripada pertengahan kehamilan (minggu ke-20) dikaitkan dengan pengurangan preeklampsia sebanyak 55%. [1]

3. Mengurangkan Risiko kepada Sindrom Metabolik

Sindrom metabolik ialah keadaan perubatan serius yang meningkatkan risiko kepada penyakit jantung, strok dan diabetes.

Anda dianggap mempunyai sindrom metabolik sekiranya anda mempunyai tiga atau lebih keadaan berikut:

  • Ukur lilit pinggang yang besar
  • Tekanan darah tinggi
  • Paras gula darah yang tinggi
  • Paras lemak (trigliserida) dalam darah yang tinggi
  • Paras kolesterol HDL (kolesterol baik) yang rendah

Terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa pengambilan kalsium boleh membantu mengurangkan risiko sindrom metabolik dalam kalangan wanita tetapi tidak bagi lelaki. [2]

Terdapat juga kajian lain yang mendapati bahawa pengambilan kalsium yang tinggi daripada sumber semula jadi dikaitkan dengan pengurangan risiko sindrom metabolik. [3]

4. Membantu Mengawal Pengecutan Otot

Kebaikan kalsium juga dapat dilihat dalam fungsi yang boleh membantu mengawal pengecutan otot.

Apabila saraf merangsang otot, badan akan melepaskan kalsium. Kalsium tersebut akan membantu protein di dalam otot untuk menjalankan kerja pengecutan.

Apabila badan mengepam kalsium keluar daripada otot, otot akan mengendur.

5. Membantu Menurunkan Tekanan Darah Tinggi

Kalsium juga didapati memainkan peranan penting dalam membantu mengawal tekanan darah.

Satu kajian semula yang melibatkan 40 kajian mendapati pengambilan suplemen kalsium boleh mengurangkan tekanan darah sistolik (nilai atas) dan tekanan darah diastolik (nilai bawah) masing-masing sebanyak 1.86 mmHg dan 0.99 mmHg. [4]

Kajian ini turut mendapati, dalam kalangan mereka yang kurang mengambil kalsium, penurunan tekanan darah dilihat lebih besar. [4]

6. Membantu Menurunkan Paras Kolesterol Jahat

Mineral kalsium juga turut bermanfaat dalam membantu menurunkan paras kolesterol jahat iaitu kolesterol LDL.

Satu analisis yang melibatkan 22 kajian mendapati pengambilan kalsium sahaja atau kalsium bersama-sama vitamin D boleh mengurangkan paras kolesterol LDL dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik). [5]

Tambahan itu juga, kalsium juga mungkin menurunkan paras kolesterol dalam darah dengan menghalang penyerapan kalsium dan lemak tepu. [6]

7. Boleh Menghalang Tumor dalam Usus Besar

Adenoma kolorektal atau adenoma usus besar adalah sejenis tumor atau ketumbuhan yang terbentuk pada dinding usus besar.

Kebanyakan ketumbuhan ini bersifat benigna atau tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, ketumbuhan ini juga boleh menjadi kanser.

Terdapat satu kajian semula yang melibatkan 4 kajian yang mendapati pengambilan suplemen kalsium dengan dos antara 1,200 hingga 2,000 mg sehari dan rawatan daripada 36 hingga 60 bulan boleh mengurangkan risiko adenoma kolorektal yang berulang. [7]

Risiko dan Kesan Sampingan

Kalsium yang diperolehi daripada makanan semula jadi adalah selamat dan tidak berisiko.

Walau bagaimanapun, pengambilan kalsium yang tinggi terutamanya melalui suplemen boleh menyebabkan:

  • Loya
  • Sembelit
  • Pengurangan berat badan
  • Kelesuan
  • Kerap membuang air kecil
  • Ritma jantung tidak normal
  • Paras fosfat rendah
  • Fungsi buah pinggang yang tidak baik
  • Otot badan yang tidak normal

Oleh itu, anda perlu mengehadkan pengambilan kalsium kepada 2,000 hingga 2,500 mg sehari bagi orang dewasa.

Interaksi dengan Ubat

Suplemen kalsium juga boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan tertentu seperti:

  • Dolutegravir: Ubat merawat HIV
  • Levothyroxine: Hormon tiroid yang digunakan untuk merawat hipotiroidisme dan kanser tiroid.
  • Litium: Digunakan untuk merawat kecelaruan bipolar.
  • Antibiotik Quinolone.

Rumusan

Kalsium adalah nutrien yang penting untuk tulang, gigi dan fungsi badan yang lain.

Selain itu, kebaikan dan fungsi kalsium turut dapati dilihat dalam mengurangkan risiko preeklampsia, sindrom metabolik, mengawal pengecutan otot, menurunkan tekanan darah dan lain-lain.

Walaupun kalsium mempunyai banyak kebaikan, ia juga harus diambil secara terkawal dan tidak berlebihan terutamanya dalam bentuk suplemen.

Leave a Comment

Artikel Terkait