Kebaikan Vitamin K yang Ramai Tidak Tahu

SehatFisik August 28, 2023

Vitamin K adalah vitamin yang penting untuk kesihatan badan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui akan kebaikan dan fungsi vitamin K dek kerana kurang popular.

Namun, peranan vitamin K terhadap kesihatan badan adalah besar. Contohnya, vitamin K memainkan peranan penting terhadap penggumpalan darah dan kesihatan tulang.

Kekurangan vitamin K (walaupun jarang-jarang berlaku) boleh meningkatkan risiko kepada perdarahan berlebihan kerana darah memerlukan masa yang lebih lama untuk membeku.

Pada awal penemuannya, vitamin K dipanggil “Koagulationsvitamin.” Dari situlah datangnya huruf K dalam vitamin K.

kebaikan vitamin K
Bayam adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin K

Terdapat 2 bentuk vitamin K yang boleh diperolehi daripada makanan harian iaitu:

  • Vitamin K1 (filokuinon): Vitamin ini dijumpai dalam makanan berasaskan tumbuhan seperti sayur-sayuran hijau.
  • Vitamin K2 (menakuinon): Vitamin ini dijumpai dalam makanan berasaskan haiwan atau makanan difermentasi dan dihasilkan oleh bakteria dalam usus.

Anda boleh memperolehi vitamin K1 dalam sayur-sayuran seperti bayam, brokoli, kailan dan daun salad.

Apabila anda makan sayur-sayuran tersebut, bakteria di dalam usus besar akan menukarnya kepada vitamin K2.

Tanpa vitamin K, badan tidak dapat menghasilkan protrombin iaitu protein yang perlu dalam proses penggumpalan darah dan metabolisme tulang.

Secara umumnya, kekurangan vitamin K adalah jarang berlaku. Ia mungkin hanya berlaku kepada bayi baru lahir atau mereka yang mempunyai masalah malpenyerapan.

Lelaki dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan vitamin K sebanyak 65 mikrogram sehari. Manakala, wanita dewasa pula disarankan untuk mendapatkan vitamin K sebanyak 55 mikrogram sehari.

Antara makanan-makanan yang tinggi dengan vitamin K adalah:

  • Daun sawi
  • Bayam
  • Daun salad
  • Natto
  • Drumstik ayam (dengan kulit)
  • Dada ayam (dengan kulit)

Selain fungsinya dalam penggumpalan darah dan menguatkan tulang, terdapat juga kebaikan atau manfaat vitamin K yang lain seperti:

1. Mengurangkan Risiko Kepada Osteoporosis

Osteoporosis adalah penyakit tulang yang berlaku apabila ketumpatan mineral tulang dan jisim tulang berkurangan, atau apabila kualiti atau struktur tulang berubah.

Ini boleh menyebabkan penurunan kekuatan tulang yang boleh meningkatkan risiko patah tulang.

Vitamin K2 memainkan peranan penting dalam metabolisme kalsium, mineral utama yang terdapat dalam tulang dan gigi anda.

Menariknya, terdapat juga bukti daripada penyelidikan bahawa vitamin K2 mungkin memberikan manfaat utama untuk kesihatan tulang.

Satu analisis terhadap 16 kajian terhadap wanita menopaus mendapati bahawa mereka yang mengambil suplemen vitamin K2 mempunyai kesan positif terhadap permineralan tulang dan meningkatkan kekuatan tulang. [1]

2. Boleh Mencegah Penyakit Jantung

Pengumpulan kalsium di dalam arteri sekeliling jantung adalah faktor risiko kepada penyakit jantung.

Apa-apa sahaja yang boleh mengurangkan pengumpulan kalsium ini boleh membantu mencegah penyakit jantung. Vitamin K dipercayai membantu dengan menghalang kalsium daripada terkumpul dalam arteri anda.

Satu analisis yang melibatkan 21 kajian melaporkan bahawa peningkatan pengambilan vitamin K1 atau K2 dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung koronari secara sederhana. [2]

Satu kajian semula juga turut mendapati pengambilan vitamin K boleh merendahkan risiko penyakit jantung koronari dalam kalangan orang dewasa.

Kajian ini juga turut menekankan bahawa vitamin K2 menunjukkan kesan yang paling memberangsangkan. [3]

3. Boleh Meningkatkan Kepekaan Insulin

Rintangan insulin atau turut dikenali sebagai kepekaan insulin terjejas ialah apabila sel-sel dalam otot, lemak dan hati anda tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin dan agak sukar mengambil glukosa daripada darah anda.

Akibatnya, pankreas anda menghasilkan lebih banyak insulin untuk membantu glukosa memasuki sel-sel anda.

Penghidap kencing manis atau diabetes biasanya mempunyai rintangan insulin atau kepekaan insulin yang rendah atau terjejas.

Satu kajian selama 3 tahun yang melibatkan 355 penghidap diabetes melaporkan bahawa pengambilan vitamin K boleh menambah baik kepekaan insulin dalam kalangan pesakit lelaki. [4]

4. Berpotensi Membantu Melawan Kanser

Vitamin K juga didapati berpotensi dalam membantu melawan kanser.

Terdapat beberapa kajian telah dijalankan melibatkan vitamin K2 dan beberapa jenis kanser.

Terdapat percubaan klinikal yang menunjukkan bahawa vitamin K2 boleh mengurangkan berulangnya kanser hati dan meningkatkan kemandirian. [5]

Risiko dan Interaksi dengan Ubat

Umumnya, vitamin K tidak menyebabkan sebarang bahaya.

Walau bagaimanapun, vitamin K boleh berinteraksi dengan sesetengah ubat-ubatan seperti:

  • Warfarin (Coumadin): Vitamin K boleh mempunyai interaksi yang serius dengan warfarin, ubat pencair darah.
  • Antibiotik: Antibiotik boleh memusnahkan bakteria baik dalam usus anda. Sesetengah bakteria ini membuat vitamin K.
  • Orlistat: Orlistat adalah ubat kurus yang boleh mengurangkan penyerapan vitamin K.
  • Bile acid sequestrants: Bile acid sequestrants adalah ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol darah. Ia boleh mengurangkan penyerapan vitamin K dalam badan.

Rumusan

Vitamin K ialah sekumpulan nutrien yang dibahagikan kepada vitamin K1 dan K2 yang mempunyai banyak kebaikan.

Vitamin K1 terlibat dalam pembekuan darah dan vitamin K2 memberi manfaat kepada kesihatan tulang dan jantung.

Selain itu, vitamin K juga turut berpotensi dalam perawatan diabetes dan kanser.

Leave a Comment

Artikel Terkait